loading...

Shafie beri ‘alasan lemah’ untuk pegang menteri kewangan

Wakil rakyat Kiulu, Joniston Bangkuai berkata pentadbiran Musa Aman meninggalkan Sabah dalam keadaan kewangan yang kuat.

Seorang Adun BN menuduh Shafie Apdal sengaja menyalahkan ‘kecelaruan kewangan’ pada Musa Aman.

PETALING JAYA: Wakil rakyat Parti Bersatu Sabah menuduh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal cuba menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini untuk mewajarkan langkahnya mengambil alih portfolio menteri kewangan negeri.

Adun Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata Shafie sengaja memberikan alasan lemah dengan mengatakan beliau perlu “membetulkan kecelaruan”.

Beliau berkata presiden Parti Warisan Sabah itu dikecam oleh sekutu sendiri dalam Pakatan Harapan, iaitu mereka dari PKR dan DAP yang tidak senang beliau memegang jawatan ketua menteri dan menteri kewangan negeri.

“Dia memperkecilkan kebijaksanaan rakyat apabila mendakwa beliau hanya akan memegang jawatan itu buat sementara waktu dan mahu memulihkan kecelaruan dan urus janji berat sebelah yang ditinggalkan oleh Musa Aman,” kata Bangkuai.

Shafie pada Rabu berkata sebagai menteri kewangan, beliau tidak akan terlibat secara langsung dalam meluluskan projek. Satu badan berpusat baru akan ditubuhkan bagi memeriksa dan meluluskan semua kontrak dan dasar.

Akhbar Borneo Today hari ini memetik beberapa sumber yang rapat dengan Shafie mengatakan Shafie tidak akan memegang portfolio itu melebihi tempoh yang sewajarnya.

Laporan itu berkata Shafie mempunyai tugas besar untuk memulihkan kecelaruan yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelum ini dan pengalamannya sebagai pakar ekonomi akan membantu menyelesaikan pelbagai penipuan.

Bangkuai bagaimanapun menyoal “apakah kecelaruan kewangan yang beliau maksudkan?”

Kerajaan sebelum ini diberi taraf bersih oleh Ketua Audit Negara selama 16 tahun berturut-turut sehingga 2016, dan RAM Ratings memberikan negeri itu penarafan “AAA” selama 7 tahun berturut-turut sehingga 2017.

Kerajaan itu juga mencatat belanjawan lebihan setiap tahun sejak 2015 hingga 2018, dan bajet tahun ini berada pada RM4.1 bilion dengan lebihan RM65 juta.

“Rizab kewangan negeri juga meningkat daripada RM184 juta pada 2002 kepada RM3.74 bilion tahun lepas, dan selama 16 tahun berturut-turut negeri mencatatkan lebihan dalam akaun hasil disatukan tahunannya sehingga tahun lepas,” katanya.

Katanya, pencapaian itu disebabkan oleh pendekatan cermat dan cekap oleh pentadbiran sebelum ini di bawah Tan Sri Musa Aman, yang juga pengerusi BN dan Umno Sabah.

Bangkuai berkata ia satu ironi apabila PH mengecilkan saiz Kabinet persekutuan tetapi kerajaan negeri bawah Warisan berbuat sebaliknya.

Beliau berkata pembentukan 3 kementerian negeri baru nampak seperti langkah untuk menyediakan kedudukan-kedudukan penting buat gabungan yang ditubuhkan bersama Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) selepas pilihan raya 9 Mei lalu.

“Pembentukan 3 kementerian baru semestinya menjadi beban kepada kerajaan negeri kerana mereka memerlukan lebih banyak dana untuk tenaga manusia dan logistik, di samping mewujudkan kekeliruan dan penduaan tugas,” katanya.

“Di mana harus kerajaan cari wang untuk semua ini?” tambahnya.

PBS mengumumkan keputusan meninggalkan BN pada 12 Mei, sementara Upko membuat keputusan itu sehari selepas pilihan raya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...