Get $25 free
loading...

Istana Negara: Mesyuarat Lembaga Pengampunan tangguh Rabu

Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, Pejabat Perdana Menteri meminta mesyuarat yang pada awalnya ditetapkan pada Selasa, ditangguhkan ke 11 pagi Rabu ini.

PETALING JAYA: Lembaga Pengampunan akan mengadakan mesyuarat Rabu ini untuk mendapatkan persetujuan Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan dan pembebasan Ketua Umum PKR dan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, Pejabat Perdana Menteri meminta mesyuarat yang pada awalnya ditetapkan pada Selasa, ditangguhkan ke 11 pagi Rabu ini.

Katanya, Sultan Muhammad V berpuas hati dengan semua prosedur berkaitan prosiding oleh Lembaga Pengampunan untuk Anwar.

“Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya perkara ini dimuktamadkan pada 16 Mei, Rabu menjelang Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ahli Lembaga Pengampunan itu terdiri daripada Agong, perdana menteri dan peguam negara yang akan mempertimbangkan pengampunan dan pembebasan Anwar.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang diarahkan bercuti, tugasnya akan diambil alih Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek yang mempunyai kuasa untuk terbabit dalam Lembaga Pengampunan.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Agong sedia memberi pengampunan diraja dan pembebasan serta-merta kepada Anwar.

Anwar menjalani hukuman penjara 5 tahun pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya yang dikenakan Mahkamah Rayuan.

Anwar yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh, sepatutnya dibebaskan 8 Jun ini.

Anwar merupakan pilihan pertama PH sebagai calon perdana menteri mengikut rancangan asal gabungan 4 parti itu bagi pilihan raya umum ke-14.

Dr Mahathir akan menyerahkan jawatannya selepas Anwar layak memegang jawatan perdana menteri ke-8.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...