Get $25 free
loading...

Berlaku adil bila tegur Guan Eng, peguam tegur C4

Lim tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan peguam negara perlu kaji semula tuduhan kerana Guan Eng mengatakan ia bermotif politik, kata SN Nair.

SN Nair mengingatkan prinsip undang-undang ialah seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah mesti ditegakkan. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Seorang peguam jenayah meminta badan pemantau rasuah berlaku adil dalam teguran mengenai isu Lim Guan Eng memegang portfolio menteri walaupun berdepan pertuduhan rasuah.

SN Nair mengingatkan prinsip undang-undang mengatakan seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“C4 jangan tersilap semasa membuat teguran,” kata Nair, merujuk kepada singkatan nama Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme.

Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel berkata, NGO itu “khuatir” apabila Lim dilantik walaupun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata setiausaha agung DAP itu hanya boleh memegang jawatan tersebut selepas bebas dari tuduhan rasuah.

Gabriel mengakui tidak ada ketetapan undang-undang bagi mencegah pelantikan Lim yang sedang menunggu perbicaraan kes rasuah, tetapi menegaskan terdapat prinsip tadbir urus yang baik yang memaparkan betapa pentingnya kenyataan Dr Mahathir itu.

Nair berkata negara ini negara hukum dan “kita mesti mematuhi undang-undang dan bukannya retorik sosial”.

Beliau berkata pada 2008, sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati Dr Mahathir dan 5 yang lain terlibat mengatur badan kehakiman. RCI mengesyorkan siasatan lanjut dengan pandangan untuk merangka pertuduhan jenayah.

Nair berkata tahun lepas, satu lagi RCI menyimpulkan terdapat unsur-unsur fakta dan maklumat tersembunyi berkaitan kerugian tukaran mata wang yang dialami oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan kenyataan mengelirukan diberi kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai.

Laporan itu berkata BNM mengalami kerugian sebanyak RM31.5 bilion antara 1992 dan 1994.

RCI mengesyorkan agar polis membuka siasatan terhadap kemungkinan pecah amanah atau penipuan oleh pelbagai pihak, termasuk Dr Mahathir dan menteri kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (1991-1998).

Turut disebut bekas penasihat Bank Negara, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang dinamakan sebagai “secara amnya bertanggungjawab bagi jenayah pecah amanah” manakala Tun Daim Zainuddin, seorang lagi bekas menteri kewangan (1984-1991), dikatakan membantu dan bersubahat dengan Nor Mohamed.

Nair berkata Gabriel tidak adil apabila hanya mengkritik pelantikan Lim kerana jika beliau berpegang pada prinsip itu, beliau juga harus mengkritik Dr Mahathir, dan Daim, yang merupakan ketua Majlis Penasihat Kerajaan yang berusaha membantu memulihkan ekonomi Malaysia.

“Kalau dia mahu menggunakan naratif itu terhadap Lim, maka dia harus menerapkan prinsip yang sama terhadap orang lain,” katanya.

Nair berkata tidak kira sama ada peguam negara sudah merangka pertuduhan terhadap Lim atau RCI melaporkan penglibatan Dr Mahathir dan lain-lain.

“Dalam kedua-dua keadaan itu mereka dianggap tidak bersih dan oleh itu Gabriel harus menggesa peraturan yang sama dikenakan pada semua,” katanya.

Dalam apa jua keadaan, Nair berkata Lim dan mereka yang terlibat dalam kerugian forex mendawa keputusan oleh peguam negara dan RCI tahun lepas bermotif politik bawah rejim Barisan Nasional.

Beliau berkata untuk berlaku adil, kerajaan perlu melantik seorang peguam negara yang bebas untuk mengkaji semula pertuduhan terhadap Lim.

Pada 2016, Lim dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan keuntungan bagi dirinya dan isterinya, Betty Chew, dengan meluluskan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada zon perumahan kepada syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd.

Lim juga dituduh menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan keuntungan kepada dirinya dengan membeli sebuah banglo di Jalan Pinhorn Georgetown pada harga RM2.8 juta di bawah nilai pasaran RM4.27juta daripada Phang Li Koon pada 28 Julai 2015.

C4: Guan Eng should have been cleared before taking office


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...