Get $25 free
loading...

Dr Afif hadiahkan ‘bauan harapan’ untuk Seberang Jaya

Wakil rakyat PKR berterima kasih kepada penduduk kawasannya dengan memberikan botol kecil berisi minyak wangi kerana beliau dikatakan mungkin berpindah ke Selangor.

Hadiah Dr Afif Bahardin kepada penduduk kawasannya: minyak wangi ‘Keadilan Harapan Malaysia’.

GEORGE TOWN: Seorang pemimpin PKR di sini mempunyai cara berbeza untuk meninggalkan kesan, iaitu dengan menghadiahkan penduduk di kawasannya, bauan harapan dan keadilan yang segar, atau “Keadilan Harapan Malaysia”.

Dr Afif Bahardin, timbalan ketua Pemuda PKR Kebangsaan, dikatakan akan diletakkan di Selangor untuk bertanding pada pilihan raya umum.

Bagi mengucapkan terima kasih kepada warga Seberang Jaya, yang beliau wakili selama 5 tahun, Dr Afif memberikan botol kecil minyak wangi tanpa alkohol.

Dr Afif menempah 1,000 kotak minyak wangi tersebut yang diperbuat daripada ekstrak ros hijau diformulasi oleh beliau sendiri dan “pakar minyak wangi antarabangsa”.

Botol minyak wangi mempunyai logo PKR.

Dinamakan “Keadilan Harapan Malaysia”, minyak wangi itu mempunyai bauan segar dan diisi dalam botol yang dilekatkan dengan simbol PKR.

“Ia hadiah penghargaan buat pengundi saya atas sokongan mereka sejak 5 tahun lalu,” katanya semasa ditemui di Komtar hari ini. Beliau adalah exco negeri Pulau Pinang.

Pembantu Dr Afif berkata kebanyakan minyak wangi itu diagihkan kepada jemaah di Masjid Seberang Jaya selepas solat Jumaat.

Pada pilihan raya 2013, Afifi memenangi kerusi Seberang Jaya, mengalahkan Mohammad Nasir Abdullah dari BN dengan kelebihan 2,459 undi.

Afif enggan mengulas sama ada beliau mahu bertanding semula di Seberang Jaya dan juga enggan mengulas berhubung desas-desus mengatakan beliau akan berpindah ke Selangor.

Katanya, parti itu akan menentukan pencalonannya. Buat masa ini, beliau menumpukan pada persiapan jentera pilihan raya PKR di Seberang Jaya.

“Kebimbangan saya kini adalah mendapatkan pengundi luar pulang mengundi. Kita perlukan jumlah pengundi yang ramai seperti PRU lepas,” kata Dr Afif.

DUN Seberang Jaya terletak di Parlimen Permatang Pauh, bersama-sama DUN Penanti dan DUN Permatang Pasir. Penanti dimenangi PKR dan Permatang Pasir dimenangi PAS pada 2013.

Dr Afif berkata pengaruh kuat PAS di Permatang Pasir susah ditembusi, tetapi yakin sentimen nasional akan memastikan Pakatan Harapan menang.

“Pada beberapa PRU lepas, kita bekerja rapat dengan PAS, tetapi kita tidak bergantung sepenuhnya kepada akar umbi mereka kerana jentera pilihan raya kita di Permatang Pauh kuat. Permatang Pauh, apa pun, adalah kubu kuat PKR,” katanya.

Cabaran lebih besar adalah mengalahkan kempen BN di Permatang Pauh yang menerima banyak pembiayaan.

“Apa yang saya boleh katakan kepada pengundi Permatang Pauh adalah, pemimpin kegemaran mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan daripada penjara pada 8 Jun, dan mengundi PKR adalah cara menyambutnya semula. Saya percayakan kebijaksanaan pengundi Permatang Pauh untuk mengundi ‘Malaysia Baru’,” katanya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...