Get $25 free
loading...

Selepas 8 tahun, keluarga Aminulrasyid dapat ganti rugi RM114,800

PUTRAJAYA: Akhirnya keluarga Aminulrasyid Amzah, 14, mendapat ganti rugi sebanyak RM114,800 atas kematian remaja itu akibat ditembak polis 8 tahun lepas.

Keputusan itu diumumkan selepas panel 3 hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif menolak permohonan kerajaan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan memerintahkan jumlah itu dibayar kepada keluarga si mati.

Raus, yang mendengar rayuan itu bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali, mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan serta memutuskan undang-undang berkaitan Seksyen 7 dan 8 Akta Undang-undang Sivil, terlaksana.

Seksyen 7 dan 8 melibatkan ganti rugi berhubung estet si mati.

“Tafsiran tentang 2 seksyen itu tidak perlu dibuat. Permohonan kebenaran adalah ditolak,” kata Raus setelah mendengar penghujahan daripada peguam kanan persekutuan Alice Loke, yang mewakili kerajaan dan polis, dan peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mewakili keluarga Aminulrasyid.

Pada Mac 2016, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad dan kakak sulung remaja itu, Nor Azura, dibayar ganti rugi RM414,800, tetapi pada 2 Jun 2017, Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah itu kepada RM114,800 setelah membenarkan sebahagian daripada rayuan kerajaan dan polis.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan kebenaran oleh kerajaan dan polis untuk merayu bagi mengurangkan jumlah ganti rugi sebanyak RM114,800 itu.

Norsiah dan Nor Azura memfailkan saman terhadap Jenain Subi, yang melepaskan tembakan, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor ketika itu, yang juga bekas ketua polis Nngara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dan Kerajaan Malaysia.

Ketika memandu kereta pada 2 pagi 26 April 2010, Aminulrasyid dikejar dan ditembak polis apabila dia tidak mematuhi arahan supaya berhenti.

Mahkamah Rayuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa tiada justifikasi bagi Jenain untuk melepaskan tembakan.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Norsiah berkata, setelah 8 tahun berlalu, akhirnya anak dan keluarganya mendapat juga keadilan.

Keluarga Aminulrasyid dapat ganti rugi RM414,800



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...