Get $25 free
loading...

Guan Eng anggap persempadanan semula ‘aparteid pilihan raya’

Setiausaha Agung DAP itu berkata sempadan pilihan raya baru petanda buruk untuk masa depan negara

GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang baru diluluskan minggu lepas sebagai suatu bentuk “aparteid” dengan mengelompokkan pengundi dari satu kumpulan etnik ke kerusi tertentu.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, langkah itu mengejutkan dan mendakwa ia akan mewujudkan lebih banyak perkumpulan etnik yang terpisah dan berlawanan antara satu sama lain.

“Persempadanan kawasan pilihan raya terbaru adalah eksesais yang memeranjatkan bukan sahaja kerana ciri gerimander yang sangat memalukan tetapi sifat ‘aparteid pilihan raya’ yang tidak bertanggungjawab.

“Dengan menghimpunkan satu kumpulan etnik ke dalam satu kerusi tertentu, bukannya mewujudkan kerusi campuran, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menggunakan formula rasis dalam proses itu.

“Ini akan menyebabkan pengundi melihat diri mereka sebagai orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban atau orang Kadazan, bukannya sebagai orang Malaysia,” kata Lim.

Aparteid adalah sistem pemisahan dan diskriminasi berasaskan warna kulit yang diamalkan di Afrika Selatan dari 1948 hingga 1994.

“Ini akan membolehkan Barisan Nasional (BN) terus menggunakan sentimen perkauman dan ekstremisme, bukannya bercakap atas asas nilai bersama seperti keadilan, layanan adil, pemerintahan berundang-undang, kebebasan dan demokrasi,” kata Lim.

Beliau berkata, SPR tampaknya akur kepada kemahuan kerajaan BN dengan menggunakan formula berbahaya yang akan memburukkan jurang kaum.

Rabu lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya selepas perdebatan usul selama 2 jam dengan 129 undi menyokong dan 80 menentang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul berkenaan walaupun selepas protes terhadapnya berlangsung di luar Parlimen oleh Ahli Parlimen pembangkang, Bersih 2.0 dan aktivis.

Ketika pembentangan, Najib berkata usul SPR itu tidak mencadangkan apa-apa perubahan pada jumlah kerusi Parlimen dan DUN tetapi hanya pengubahan nama 12 kerusi Parlimen dan 28 DUN.

Keseluruhan terdapat 222 kerusi Parlimen dan 587 kerusi DUN di seluruh negara.

Kali terakhir Parlimen meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003. Perlembagaan negara menetapkan kajian semula ini dibuat setiap 8 tahun sekali.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...