loading...

60 janji pembangkang, hanya 1 tentang Bumiputera, kata Najib

Manifesto pembangkang tidak mengandungi apa-apa kandungan substantif untuk menegakkan dan meneguhkan pembangunan ekonomi Bumiputera secara tuntas dan tegas.

Perdana menteri menegaskan komitmen BN mempertahankan agenda Bumiputera sebagai tunggak dasar negara.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata pembangkang terlalu mengambil mudah agenda Bumiputera kerana nampaknya daripada 60 janji dalam manifesto mereka, hanya 1 yang menyentuh isu ekonomi kaum itu.

Perdana menteri berkata janji untuk Bumiputera nampaknya tidak diberi keutamaan teratas dalam manifesto mereka.

“Saya telah meneliti manifesto pihak sebelah sana. Manifesto mereka mengandungi 60 janji tetapi hanya 1 janji yang menyebut ekonomi Bumiputera. Itu pun janji nombor 30,” katanya ketika berucap di Himpunan Usahawan Bumiputera di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Najib dipercayai merujuk kepada manifesto Pakatan Harapan untuk pilihan raya umum ke-14 yang dilancarkan 8 Mac lalu. Manifesto itu mengandungi 60 perkara, di mana 10 daripadanya akan dilaksanakan dalam 100 hari pertama pentadbiran kerajaan PH.

Janji ke-30 yang dimaksudkan itu berbunyi: “Memajukan ekonomi Bumiputera dan semua rakyat berbilang bangsa”.

Najib menepis manifesto pembangkang sebagai dokumen yang tidak mengandungi apa-apa kandungan substantif untuk menegakkan dan meneguhkan pembangunan ekonomi Bumiputera secara tuntas dan tegas.

“Paling kuat tuan-tuan dan puan-puan, mereka hanya berjanji membentangkan laporan di Parlimen mengenai jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera. Apa yang kaum Bumiputera dapat daripada perbuatan ini?” soalnya.

Najib berkata janji itu pun sudah dilaksanakan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Pemeriksaan FMT mendapati perdana menteri pernah membuat pengumuman tentang peningkatan pemilikan ekuiti Bumiputera dari 2012 lagi.

Ketika itu, beliau mengumumkan pemilikan ekuiti Bumiputera pada nilai tara meningkat daripada 21.9% (RM127.4 bilion) pada 2008 kepada 23.09% (RM167.7 bilion) pada 2010.

“Betapa ambil mudahnya pihak sebelah sana memandang agenda Bumiputera,” katanya.

Dalam pada itu, Najib, yang juga presiden Umno berkata, kerajaan BN akan tetap mendukung dasar memberi bantuan dan inisiatif kepada Bumiputera.

Dalam pada itu, Najib berkata selagi diberi mandat oleh rakyat, kerajaan BN akan tetap mendukung dasar memberi bantuan dan inisiatif kaum kepada kaum itu.

“Saya akan terus mempertahankan agenda Bumiputera demi kesejahteraan kita bersama dari generasi ini ke generasi hadapan.

“Saya berjanji agenda Bumiputera tidak akan berganjak sebagai tiang tunggak dasar negara kita ini,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...