Get $25 free
loading...

Idris: Kebolehpasaran graduan meningkat 4%

Beliau berkata, Program Dua Universiti+Dua Industri turut membantu meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan IPTA.

graduate-malaysia-studentIPOH: Kadar kebolehpasaran graduan institusi pengajian tinggi (IPT) awam di negara ini meningkat 4% dalam tempoh 4 tahun sejak 2014, membuktikan universiti awam tempatan mampu melahirkan tenaga kerja berkualiti, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata pengenalan Program Dua Universiti+Dua Industri yang memperuntukkan pelajar mengikuti pengajian selama 2 tahun dan menimba pengalaman industri 2 tahun, turut membantu meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan IPT awam.

“Kita lihat kebolehpasaran graduan meningkat sejak 4 tahun lalu iaitu 75.1% pada 2014, kemudiannya naik sekitar 1% setiap tahun iaitu 76.1% (2015), 77.3% (2016) dan 79.1% tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Trans Resources Corporation (TRC) Edu Center di Politeknik Ungku Omar (PUO) yang dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah TRC.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz serta Pengarah Urusan Kumpulan TRC Sdn Bhd Tan Sri Sufri Mohd Zin.

TRC Edu Center merupakan pusat industri-akademia hasil kolaborasi Politeknik Ungku Omar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan TRC, bertujuan mencapai misi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) “Industry & Academia Are One”.

Idris berkata kadar kebolehpasaran graduan politeknik turut menunjukkan peningkatan kepada 94.5% tahun lepas berbanding 88.6% pada 2016.

Menyentuh mengenai TRC Edu Center, Idris menjelaskan inisiatif TRC yang memberikan komitmen mengambil 30 pelajar politeknik setahun bagi tempoh 5 tahun bagi tujuan pengajian berasaskan kerja sebelum diserap bekerja dengan TRC selepas tamat pengajian, sangat bertepatan dengan misi KPT.

Katanya, TRC Edu Center yang berkonsepkan Revolusi Industri 4.0 merupakan sebuah “Technology Enabled Collaborative Centre” dilengkapi dengan kemudahan seiring dengan konsep ini secara berperingkat.

Beliau berkata konsep berkenaan akan dikembangkan ke politeknik seluruh negara bagi memenuhi permintaan dan keperluan pemain industri teknikal meningkatkan kualiti Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kita galakkan politenik melaksanakan konsep agak sama, cuma nama mungkin berlainan. Tapi ia merupakan konsep akademia dan industri adalah satu, iaitu industri berada di pusat pendidikan tinggi,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...