Get $25 free
loading...

Profesor palsu antara 2 ditahan salah guna dana RM3 juta

Profesor palsu dan seorang pegawai tadbir kanan di bawah Akademi Sains Malaysia dipercayai menyeleweng dana itu sejak 2012 hingga 2017.

macc-sprm-arrestPETALING JAYA: Seorang individu yang menyamar sebagai profesor sebuah universiti tempatan antara 2 ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki menyalahgunakan dana kira-kira RM3 juta.

Sumber SPRM berkata, profesor palsu berusia 57 tahun itu ditahan bersama seorang pegawai tadbir kanan di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM) berusia 44 tahun.

Katanya, pegawai tadbir kanan yang dilantik secara kontrak sejak 2008 itu, bersubahat dengan profesor palsu terbabit menyeleweng dana kira-kira RM3 juta sejak 2012 hingga 2017.

Beliau berkata, pegawai tadbir kanan itu memalsukan tandatangan pengarah dan pengurus program International Council for Scientific Union Regional Office for Asia Pacific (ICSU-ROAP) di bawah ASM dalam dokumen tuntutan bagi melaksanakan 73 program di dalam dan luar negara.

Katanya, seorang lagi suspek menyamar sebagai profesor lestari dari Universiti tempatan yang kononnya ahli sains mewakili negara ke program di luar negara anjuran ICSU-ROAP.

“Pegawai tersebut didapati mengemukakan invois, bil hotel, tiket penerbangan dan dokumen lain yang disyaki palsu bagi menyokong perbelanjaan program, sedangkan ada sesetengah perbelanjaan tidak wujud dan ianya bertujuan mendapatkan semula duit tersebut dengan menyalurkan ke akaun peribadi beliau.”

Sumber itu berkata, suspek turut mereka kewujudan seorang akauntan ASM palsu bagi meluluskan bayaran lebihan seperti hotel dan tiket penerbangan itu untuk dimasukkan ke akaun peribadinya.

Difahamkan, ICSU-ROAP mendapat dana daripada ICSU-Paris sebanyak 75 juta euro (RM361 juta) dan RM1 juta daripada Kementerian Kewangan yang disalurkan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia kepada ASM setiap tahun.

Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika mengesahkan tangkapan itu berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Katanya, kedua-dua suspek yang ditahan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur antara 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...