Get $25 free
loading...

Pencipta nama Proton Saga meninggal dunia

Ismail Jaafar yang mencipta nama Proton Saga, meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya petang semalam.

proton-sageSUNGAI PETANI: Pesara tentera, Ismail Jaafar, yang merupakan pemenang pertandingan mencipta nama kereta pertama keluaran Perusahaan Otomobil Nasional (Proton), meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Taman Nuri, pukul 3.10 petang semalam.

Ismail, 71, mencipta nama Proton Saga ketika pelancaran edisi pertama kereta nasional itu yang disempurnakan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 1 Sept 1985. Beliau terpilih daripada keseluruhan 102,823 penyertaan yang diterima Proton.

Beliau meninggalkan isteri, Sariah Abdul Rahman, 69, dan 3 anak, Mohd Sariffuddin, 46, Siti Sarismahan, 42, dan Siti Sarismahanim, 37.

Ketika ditemui pemberita, Mohd Sariffuddin berkata kesihatan bapanya semakin merosot sejak akhir tahun lalu dan sering keluar masuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Allahyarham juga ada penyakit jantung, buah pinggang dan kencing manis, Khamis lalu dia baru keluar wad, petang semalam, selepas Jumaat, dia menghembuskan nafas terakhir di samping semua anggota keluarga.

“Alhamdulillah, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudahtus Solihin Amanjaya, pukul 10.55 malam tadi,” katanya.

Ismail yang bersara sejak lebih 20 tahun lalu, sebelum itu merupakan staf sarjan dengan jawatan terakhir disandang, ketua kerani di sebuah sekolah tentera (Kor Perkhidmatan) di Taiping, Perak.

Ismail yang berasal dari Pulau Pinang, berpeluang menunaikan haji pada Julai tahun lalu bersama isterinya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...