Get $25 free
loading...

Ahli majlis PAS hairan laporan dipecat kerajaan Selangor

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Shuhaimi Shafie tidak dapat mengesahkan laporan itu kerana belum tahu perkara sebenar.

roslan-mpsj

PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir  hairan dengan laporan beliau dipecat dari jawatan ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Roslan memberitahu FMT beliau belum terima sebarang makluman daripada kerajaan Selangor atau daripada PAS Selangor mengenai pemecatannya.

“Kalau ada sekurang-kurangnya orang yang hendak dipecat itu dimaklumkan dan parti yang melantik perlulah diberitahu,” katanya malam tadi.

“Jika saya didapati terlibat dalam salah guna kuasa, maka saya tidak boleh cakap apa-apa. Tidak ada sebarang aduan terhadap perkhidmatan saya, kalau hendak pecat mesti ada sebab,” tambahnya.

Pemecatan Roslan itu dilaporkan oleh akhbar Sin Chew Daily yang memetik kenyataan sumber. Menurut akhbar berbahasa Cina itu, keputusan itu dibuat oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali beberapa hari lalu.

“Saya dilantik menteri besar, tetapi calonnya dicalonkan parti masing-masing,” kata Roslan. “Kuasa macam itu memang kuasa menteri besar tetapi setakat yang saya tahu perkhidmatan saya di MPSJ adalah baik.”

Menurut sumber Sin Chew Daily, 3 ahli exco PAS dalam pentadbiran Azmin dikekalkan untuk memastikan kelancaran pentadbiran.

Sementara itu, kerajaan Selangor juga dilaporkan telah membekukan peruntukan tahunan kepada wakil rakyat PAS.

Roslan berkata beliau tidak tahu mengenai pembekuan itu, dan menambah peruntukan tahunan sudah diberikan kepada pejabat daerah masing-masing.

“Tidak ada kenyataan rasmi dari menteri besar sendiri, dan saya sendiri tidak berani hendak ulas. Peruntukan semua wakil rakyat sudah turun ke pejabat daerah masing-masing dan dari pejabat daerah itu wakil rakyat akan keluarkan.

“Setakat ini yang kita tahu sudah diturunkan ke pejabat daerah tetapi bab sekatan ini kita tidak dimaklumkan secara rasmi,” tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Shuhaimi Shafie ketika dihubungi FMT belum dapat mengesahkan laporan itu.

“Saya tidak dapat mengulas waktu ini kerana belum mengetahui kedudukan perkara sebenar,” katanya.

Untuk rekod PAS memenangi 15 kerusi DUN Selangor sebelum 2 daripadanya menyertai Amanah, manakala DAP mempunyai 15 dan PKR 13 pada PRU lepas.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...