Get $25 free
loading...

Skandal tukar status hartanah Bumiputera gemparkan Johor

Seorang bekas exco kerajaan negeri didakwa atas 33 pertuduhan membabitkan rasuah RM30.3 juta dan 21 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram RM35.7 juta.

arrest-sprm

PETALING JAYA: Ketika rakyat menghadapi kesukaran memiliki kediaman sendiri, skandal menukar status hartanah Bumiputera kepada bukan Bumiputera di Johor tentunya menggemparkan.

Lebih-lebih lagi apabila seorang bekas exco kerajaan negeri didakwa di mahkamah sesyen atas 33 pertuduhan membabitkan rasuah RM30.3 juta, di mana beliau mengaku tidak bersalah.

Berikut kronologi skandal hartanah Johor sepanjang 2017.

24 Februari – Enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas seorang penjawat awam Johor ditahan SPRM dalam siasatan ke atas dakwaan rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri itu.

Media melaporkan semua suspek disyaki bersubahat dalam kes pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis.

SPRM turut merampas 21 kereta mewah, 5 motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan. Selain itu, sebanyak 45 akaun bank milik semua suspek melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga dibekukan.

28 Februari – SPRM menangkap seorang kontraktor bagi membantu siasatan ke atas dakwaan rasuah dan penyelewengan melibatkan hartanah di Johor. Beliau dibebaskan atas jaminan SRPM selepas direman selama 7 hari.

1 Mac – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abd Latif Bandi diumumkan bercuti sehingga tempoh yang tidak diberitahu selepas tangkapan anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, 25, dan pegawai khasnya, Muhammad Idzuan Jamalludin.

9 Mac – Abd Latif ditahan SPRM bagi membantu siasatan sementara anak dan pegawai khasnya dibebaskan. Media melaporkan sejurus penahanan itu, SPRM turut merampas kira-kira 150 utas beg tangan berjenama mewah, sebuah Toyota Vellfire dan wang tunai RM41,000 dalam serbuan ke atas kediamannya.

19 April – Abd Latif dan seorang perunding hartanah, Amir Shariffuddin didakwa di mahkamah sesyen dengan 33 pertuduhan membabitkan rasuah RM30.3 juta.

Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir untuk menerima suapan sebagai mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah lot Bumiputera serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor.

Mereka mengaku tidak bersalah.

20 April – SPRM mengenal pasti kelemahan dalam sistem dan prosedur perumahan Bumiputera di Johor.

14 Jun – Abd Latif bersama anaknya, Ahmad Fauzan Hatim, dan Amir didakwa di mahkamah sesyen dengan 21 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram RM35.7 juta.

Mereka mengaku tidak bersalah.

27 November – Adun Senai Wong Shu Qi diarah keluar daripada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor kerana menarik balik kenyataan berhubung skandal hartanah di negeri itu.

Wong ketika membahaskan Bajet Johor 2018 meminta Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin menjelaskan tuduhan menerima RM12 juta daripada pemaju pada Mac untuk mengubah status perumahan lot Bumiputera kepada lot bukan Bumiputera.

Wong mendakwa mendapat tahu mengenai perkara itu melalui dokumen lebih 140 muka surat “dokumen siasatan SPRM berserta jadual transaksi wang” yang dimuat naik di satu laman web, dan meminta menteri besar menjawab dakwaan itu.

28 November – SPRM membuat laporan polis berhubung kebocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan tertuduh dalam kes rasuah hartanah melibatkan bekas exco Johor.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki berkata pembocoran dokumen itu bersifat prejudis dan dikhuatiri akan mengganggu prosiding mahkamah memandangkan kes itu masih dalam perbicaraan.

“Berhubung satu jadual pembayaran yang dimuat naik di media sosial yang dikaitkan dengan siasatan tersebut, SPRM berpendapat ia telah sengaja diadakan-adakan untuk mengelirukan masyarakat,” tambahnya.

30 November – Amir membuat laporan polis selepas mendapat tahu satu dokumen yang dikatakan dokumen siasatan SPRM berkait dirinya tersebar dalam sebuah laman blog dan satu akaun Facebook.

Amir menegaskan dokumen yang dimuatnaik itu bukan dokumen yang beliau serahkan kepada peguam, dan terdapat perbezaan ketara dan banyak halaman yang ditinggalkan serta wujud dokumen langsung tidak ada dalam pengetahuan beliau atau peguam bela.

Abd Latif mengalu-alukan siasatan polis ke atas dokumen tersebut dan berkata maklumat yang dipertikaikan itu bukan daripadanya.

“Tidak ada apa nak sembunyi,” kata peguamnya, Hasnal Rezua Merican.

4 Disember – Khaled Nordin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan menerima suapan jutaan ringgit seperti yang terkandung dalam “dokumen” yang dikatakan dokumen siasatan SPRM.

“Pentadbiran saya tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk suapan,” katanya.

8 Disember – Polis menahan seorang penulis blog, Yusof Al-Siddique Suratman atau dikenali sebagai Milo Suam, dan direman selama 3 hari berhubung kebocoran dokumen yang dikatakan dokumen SPRM.

10 Disember – Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mempertikaikan tindakan SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Khaled sejak skandal terbongkar pada Februari atau selepas dakwaan terhadapnya ditimbulkan oleh Adun Senai di DUN Johor.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...