Get $25 free
loading...

Menteri gesa fokus perkara dipersetujui dalam MA63

Soal berkaitan peruntukan perundangan sedang berlangsung kerana ia membabitkan soal agak 'complicated', memerlukan kajian lebih terperinci, namun yang penting ialah kerajaan persekutuan sedia berunding mengenainya.

Fadillah-Yusof-ma63-2KUCHING: Seharusnya tiada lagi sebarang kenyataan menyimpang daripada apa yang dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan ketua menteri Sabah dan Sarawak berhubung hak 2 negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menegaskan demikian, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof menyebut tentang kesediaan kerajaan persekutuan mengembalikan hak yang mungkin terlepas pandang sebelum ini.

Beliau yang juga menteri kerja raya berkata, sepatutnya fokus diberikan kepada apa yang dipersetujui antara pemimpin berkenaan, dan pelaksanaannya diusahakan supaya semua pihak boleh “move forward”.

Katanya, apa yang dirundingkan Ketua Menteri Sarawak ke-5, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dengan kepimpinan peringkat persekutuan sebelum ini, kini diteruskan Datuk Abang Johari Openg.

“Kita tetap kekal dalam Malaysia, namun pada masa sama apa yang kita kehendaki ialah supaya apa yang termaktub dalam perjanjian dan diperuntukkan di bawah Perlembagaan, dikembalikan kepada Sarawak, itu saja,” katanya selepas merasmikan program “Kami Pengguna Bijak” di Pusat Khidmat PBB Samariang hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan perdana menteri yang juga presiden Umno pada perhimpunan agung parti itu semalam mengenai kesediaan kerajaan persekutuan berbincang bagi mengembalikan hak negeri berkenaan di bawah MA63, yang mungkin terhakis sebelum ini.

Ini katanya, sama sekali berbeza dengan pentadbiran negara sebelum ini yang terus mengenakan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap sesiapa yang membangkitkan isu berkaitan MA63.

Malah, Najib sebelum ini beberapa kali mengatakan kerajaan persekutuan bersedia mendengar dan berbincang dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk melihat sekiranya ada hak kerajaan negeri yang terhakis, ia akan dikembalikan.

Fadillah yang menghargai dan berterima kasih kepada Najib berkata, perdana menteri dilihat mengulangi kenyataan itu beberapa kali sebelum ini, mungkin kerana ada pihak yang masih salah faham dengan rundingan antara perdana menteri dengan ketua menteri Sabah dan Sarawak, atau mungkin masih ada individu yang membangkitkannya dalam Perhimpunan Agung Umno berakhir semalam.

Beliau berkata, bagi Sarawak, ada 2 peringkat rundingan, iaitu yang berkaitan aspek pentadbiran berhubung penurunan kuasa; dan rundingan berkaitan soal perundangan.

Menurutnya, aspek pentadbiran sudah diuruskan selaras pengumuman Adenan berkenaan 13 perkara yang dipersetujui kerajaan persekutuan untuk diberikan lebih kuasa pentadbiran kepada kerajaan Sarawak, dalam pertemuan Adenan dengan perdana menteri, dan disertai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali; dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani, awal tahun lepas.

Bagaimanapun, menurutnya soal berkaitan peruntukan perundangan sedang berlangsung kerana ia membabitkan soal agak “complicated”, memerlukan kajian lebih terperinci, namun menurutnya apa yang penting adalah kenyataan kerajaan persekutuan sedia berunding mengenainya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu, Mohd Bahrin Abd Karim menyambut baik jaminan perdana menteri untuk mengembalikan hak negeri, jika ada terlepas pandang dalam MA63.

Beliau yang juga setiausaha Pemuda Umno Sabah berkata, kesediaan perdana menteri itu membuktikan kesungguhan pimpinan kerajaan persekutuan mendengar suara rakyat di peringkat akar umbi.

Dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini, Bahrin berharap kenyataan terbuka perdana menteri itu menjawab segala kemusykilan atau polemik yang cuba dijaja pembangkang dengan memanipulasi isu MA63.

“Kita menyambut baik kenyataan perdana menteri berhubung MA63 kerana ia mencerminkan sikap pimpinan kita yang sentiasa proaktif dalam perkara membabitkan kepentingan rakyat.”

Sementara itu, beliau turut menyatakan sokongan padu Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu terhadap kenyataan Ketua Pemuda Umno Batu Sapi, Khairul Firdaus Akhbar Khan mengenai penampilan lebih ramai muka baru, termasuk dari kalangan orang muda pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...