Get $25 free
loading...

Khairy: Najib layak digelar negarawan rancang masa depan negara

Ketua Pemuda Umno berkata, program TN50 mencerminkan pentadbiran pimpinan Najib Razak ialah kerajaan masa depan.

khairy-jamaludinKUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja pemimpin negara, tetapi beliau layak digelar negarawan.

Katanya, dalam menangani masalah rakyat, perdana menteri tidak lupa membuat perancangan demi masa depan.

“Datuk Seri Presiden, ‘you are a statesman’. Tanpa menunggu 2050, perubahan dimulakan hari ini.

“Kegagalan untuk merancang, adalah merancang untuk gagal. Atas kesedaran perubahan teknologi terlalu pantas, presiden umumkan dalam bajet, tidak cukup untuk anak-anak kita menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) sahaja kerana bahasa masa hadapan adalah bahasa digital, sebab itu ditambah satu lagi M iaitu mengaturcara atau programming/coding bahasa digital yang mula diajar di sekolah.

“Pengangkutan awam diperkasa bukan hanya untuk mengurangkan kos sara hidup, tetapi juga mengurangkan kesesakan jalan dan memelihara alam sekitar daripada pencemaran udara akibat terlalu banyak kereta.

“DFTZ (Zon Perdagangan Bebas Digital) dicipta, TRX (Tun Razak Exchange) dan Bandar Malaysia bakal dibina, HSR (projek Kereta api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura) dan ECRL (projek Landasan Kereta Api Pantai Timur) dilancar,” katanya pada ucapan penggulungan sempena hari terakhir Perhimpunan Agung Umno ke-71 hari ini.

Khairy berkata, program Transformasi Nasional 2050 (TN50) juga mencerminkan pentadbiran pimpinan Najib ialah kerajaan masa depan.

Sehubungan itu, katanya, Umno juga perlu menjadi sebuah parti masa depan.

“Jasa Umno sebagai parti yang memerdekakan negara dan mengisi kemerdekaan itu diketahui umum. Namun, bagi generasi muda, tidak cukup kita mengingatkan mereka tentang jasa lama.

“Mereka mahu tahu adakah Umno sebuah parti masa depan.”

Dalam pada itu, Khairy meminta Najib mempelbagaikan calon Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menteri belia dan sukan itu berkata, calon BN juga perlu menepati cita rasa pengundi semasa untuk menjadikan Umno parti kontemporari.

“Kini 2017, biarlah calon-calon yang kita kemukakan juga menepati cita rasa 2017. Sebab apa ini penting? Sebab kita tahu pengundi tidak lagi hanya pandang lambang.

“Zaman letak songkok, songkok menang sudah lama lalu. Sekarang ini calon itu manifestasi kepada presiden dan parti.

“Kita perlu kepelbagaian dalam calon ini supaya parti dilihat kontemporari. Kepelbagaiaan itu bermaksud ada yang dari golongan senior, tetapi tambahlah calon-calon wanita, calon-calon muda, malah calon-calon yang mungkin tidak datang dari hierarki parti. Biarlah parti kita dilihat segar dan kontemporari.”

Katanya, manifesto BN juga perlu mempunyai mesej segar yang khas untuk golongan muda.

“Sebuah tawaran yang menepati cita rasa dan keperluan anak muda Malaysia. Biarlah tawaran ini memberi keyakinan kepada orang muda bahawa Umno-BN memahami kebimbangan dan keresahan mereka.

“Biarlah tawaran ini mencorakkan masa depan yang lebih baik untuk mereka, yang menjana pekerjaan pendapatan tinggi, yang tidak meninggalkan belia luar bandar yang mungkin tidak dapat ke menara gading atau belum bersedia merebut peluang ekonomi digital, menyediakan perumahan yang cukup dan sebagainya.

“Biarlah ini menjadi tawaran Barisan Nasional untuk orang muda pada pilihan raya nanti,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...