Get $25 free
loading...

Kenali ratu cantik dunia ‘The Big 4’

Acara ratu cantik adalah sebuah idea mega yang bermula setengah abad lalu di Britain, bertujuan mengumpul dana dengan memperagakan pakaian bikini.

ratu-dunia-1fmt-ohsem-inside-article1Ya, kami belum habis berkongsi cerita mengenai pertandingan ratu cantik. Kami tahu ramai tidak sedar atau tidak terfikir mengenai pelbagai acara ratu cantik yang diadakan di seluruh dunia.

Sebenarnya acara ratu cantik sebuah idea mega yang bermula setengah abad lalu di Britain, bertujuan mengumpul dana dengan memperaga pakaian bikini.

Sambutan luar dugaan melahirkan lebih banyak acara ratu cantik yang menerima pengiktirafan antarabangsa, kebangsaan mahupun sekadar suka-suka termasuk kini dalam talian (online).

Mari kita meneliti pertandingan ratu cantik terbesar dan penting dunia yang diiktiraf di tahap antarabangsa juga dikenali dengan gelaran “The Big 4”:

  • Miss World / Ratu Dunia (1951)
  • Miss Universe / Ratu Alam Semesta (1952)
  • Miss International/ Ratu Antarabangsa (1960)
  • Miss Earth / Ratu Bumi (2001)

Sekarang mari kita lihat signifikan di sebalik setiap acara ratu cantik tersebut.

Ratu Dunia

Miss World adalah pertandingan ratu cantik antarabangsa yang pertama seumpamanya dianjurkan di dunia, pada tahun 1951 oleh Organisasi Miss World. Ia hasil idea seorang lelaki Eropah yang juga seorang pengacara televisyen bernama Eric Morley. Selepas beliau meninggal pada 2000, organisasi itu dipimpini isterinya Julia Morley. Miss World pertama kali dianjur untuk mengumpul dana bagi kanak-kanak kurang bernasib baik dengan memperagakan pakaian bikini. Kecemerlangan acara bikini itu membuatkan semua orang tertarik sehinggakan kira-kira 250 juta Euro berjaya dikumpul. Selepas itu, acara itu dijenamakan sebagai Miss World oleh para media dan terus terkenal sehinggalah ke hari ini. Miss World yang terkenal dengan slogan Beauty with a Purpose menerima sambutan seluruh dunia setiap tahun walaupun tidak dinafikan asyik terperangkap dalam pelbagai kontroversi.

ratu-dunia-lina-teohAntara ratu dunia yang tidak dapat dilupakan ialah Priyanka Chopra (2000), Yukta Mookhey (1999), Diana Hayden (1997) dan Aishwarya Rai (1994) dari India serta Megan Young dari Filipina (2013). Bagi Malaysia, antara peserta ratu Miss World yang popular ialah Nadia Heng, Thanuja Ananthan, Soo Wincci, Deborah Priya Emmanuel Henry, Lina Teoh, Arianna Teoh, Erra Fazira dan Datuk Michelle Yeoh.

Miss Universe

Miss Universe atau terjemahannya Ratu Alam Semesta, ialah pertandingan ratu cantik yang diperkenalkan setahun selepas kewujudan Miss World iaitu pada 1952. Pada awalnya, ia dianjur untuk mempromosi pakaian renang namun menjadi acara ratu cantik antarabangsa yang berpengaruh di negara Amerika Latin. Pada 1996, Donald Trump, Presiden AS sekarang membeli hak siar Miss Universe dengan kerjasama saluran CBS. Pada tahun 2003, hak siar diambil alih oleh NBC. Acara Miss Universe ini terkenal dengan slogan 3B (Brain, Beauty, and Behavior) bermakna pesertanya bukan sahaja dihakimi atas kapasiti kecantikan sahaja malah kebijaksanaan dan sikap. Bagaimanapun, acara ini lebih berpusat di Amerika dengan rata-rata pemenangnya dari Amerika Latin. Antara pemenang Miss Universe dari Asia ialah Pia Wurtzbach yang mewakili Filipina (2015), Riyo Mori dari Jepun (2007), Lara Dutta dari India (2000) dan Sushmita Sen juga dari India (1994).

Wakil Malaysia ke acara Miss Universe yang terkenal ialah Datin Josephine Fonseka (1970), Datuk Yasmin Yusoff (1978), Datin Elaine Daly (2003), Andrea Fonseka (2004), Nadine Ann Thomas (2010), Deborah Henry (2011), Kimberley Leggett (2012), Carey Ng (2013), Sabrina Beneett (2014), Vanessa Tevi Kumares (2015) dan Kiran Jassal (2016).

Miss International

Miss International atau ratu antarabangsa adalah pertandingan ratu cantik ketiga terbesar di dunia diadakan pertama kali di Long Beach, California, Amerika Syarikat pada 1960. Dari tahun 1968 hingga 1970 acara ini diadakan di negara Jepun, di lokasi sama berlangsungnya Ekspo Jepun yang terkenal. Kemudian ia kembali ke Long Beach, dan kembali kepada Jepun dan China sekarang.
Dikenali sebagai Olimpik Kecantikan, pertandingan ini tidak hanya berdasarkan penampilan. Peserta diasah menjadi “Duta Kedamaian dan Kecantikan” dengan menyerlahkan sifat lemah lembut, persahabatan, kecantikan, kebijaksanaan, kemampuan bertindak dan yang paling penting, kesedaran mengenai isu antarabangsa. Tujuan utama pertandingan ini adalah untuk mempromosikan perdamaian dunia, niat baik dan perpaduan. Antara pemenang Miss International ialah Kevin Lilliana dari Indonesia (2017), Bea Santiago dari Philippines (2013) dan Ikumi Yoshimatsu dari Jepun (2012).

Manakala peserta Miss Malaysia International pula ialah seperti Olivia Constance Nicholas, Jayarubini Sambanthan Muthaliyar, Iris Hng Choy Yin, Nur Tiara Ibrahim Nordin, Marianna Lynn Abdullah dan Tunku Zanariah Zena Ahmad.

Miss Earth

Ratu Bumi iaitu Miss Earth ialah pertandingan ratu cantik yang diadakan untuk membangkit kesedaran terhadap alam dan bumi. Peserta dan pemenang pertandingan ini harus mempromosi projek tertentu dan menjadi jurucakap bagi isu global berkaitan alam sekitar menerusi lawatan ke sekolah, aktiviti menanam pokok, kempen dan sebagainya. Pertandingan ini berpusat di Manila, Filipina dan dianjurkan sejak 2001.

Antara pemenang Miss Earth dari Asia ialah Angelia Ong dari Filipina (2015), Jamie Herrell dari Filipina (2014), Nicole Faria dari India (2010) dan Karla Henry dari Filipina (2008). Wakil Miss Malaysia Earth pula ialah seperti Venisa Judah, Danielle Wong Kar Wai, Josephine Tan Yee Mei, Deviyah Daranee Radhakrishnan dan sebagainya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...