Get $25 free
loading...

Status muflis Lajim digugur, Parti Harapan Rakyat Sabah lantik pemangku

Ketua pembangkang Sabah dijangka dilantik semula sebagai presiden PHRS pada mesyuarat agung tahunan parti Oktober ini.

lajim-pc-1KOTA KINABALU: Timbalan Presiden I Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) Datuk Maijol Mahap dilantik pemangku presiden parti itu selepas Datuk Seri Lajim Ukin hilang kelayakan secara automatik kerana kemuflisan.

Lajim bagaimanapun berkata status muflis itu digugurkan pagi tadi dan beliau dijangka akan dilantik semula ke jawatan itu pada mesyuarat agung tahunan PHRS 26 Oktober depan.

Adun Klias itu mengadakan sidang media hari ini selepas status muflis beliau diumumkan Jabatan Insolvensi Malaysia di akhbar tempatan baru-baru ini.

“Berhubung dengan jawatan saya sebagai presiden PHRS, mengikut Seksyen 9A Akta Pertubuhan 1966, seseorang yang diistiharkan bankrupt akan secara sendirinya berhenti memegang sebarang jawatan dalam persatuan dan parti politik,” kata Lajim.

“Berdasarkan ini, dalam segi undang-undang saya telah berhenti secara otomatik pada tarikh saya diistiharkan bankrupt iaitu pada 14 September 2017.

“Memandangkan demikian, maka ahli-ahli majlis tertinggi telah sebulat suara bersetuju bahawa Datuk Maijol Mahap sebagai timbalan presiden I akan memangku jawatan presiden sehingga tarikh saya akan kembali sebagai presiden.

“Walaupun saya sudah dikeluarkan daripada kebankrapan pada pagi hari ini, tetapi untuk kembali sebagai presiden dan ketua bahagian Beaufort, saya kena mengikut perlembagaan parti.

“Hanya di mesyuarat agung tahunan saya boleh diterima sebagai ketua bahagian dan presiden. Namun begitu saya masih bersama dalam parti ini sebagai ahli.”

Ketua pembangkang Sabah itu berkata mahkamah menggugurkan status muflis itu selepas baki hutang dengan bank dibayar sepenuhnya kepada Jabatan Insolvensi Malaysia.

Perkara itu tidak seharusnya berlaku tetapi seseorang gagal menyambung pembayaran pinjaman selepas membeli keretanya, kata Lajim.

“Sejurus sahaja saya mengetahui mengenainya notis bankrupt itu, saya telah mengatur pembayaran di bank yang berjumlah RM 185,000.00, dan saya pagi kelmarin, keseluruhan jumlah tersebut telah dibayar kepada Jabatan Insolvensi Malaysia,” kata Lajim.

“Petang kelmarin, peguam saya Datuk Maijol Mahap telah memfailkan permohonan untuk membatalkan kebankrapan di bawah Seksyen 105 (I) Akta Kebankrapan 1967.

“Pada pagi hari ini, Datuk Maijol menghadiri pendengaran di Mahkamah Tinggi dan memaklumkan kepada saya bahawa kebankrapan terhadap saya telahpun dibatalkan.”

Bekas timbalan ketua menteri Sabah itu turut mencabar pihak tertentu, yang mengatakan kemuflisan itu palsu atau beliau menerima bantuan daripada pemimpin kerajaan, supaya membuktikan dakwaan mereka.

“Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan mencabar pihak-pihak tertentu bagi membuktikan tuduhan mereka,” katanya.

“Jika tuduhan itu berpanjangan dan siapa yang membuat fitnah ini akan berhadapan dengan tindakan undang-undang seterusnya menyaman mereka ini di mahkamah bagi membersihkan nama saya.”

PHRS salah satu komponen 4 parti gabungan parti pembangkang tempatan, Gabungan Sabah.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...