Get $25 free
loading...

Felda nafi laporan peneroka di Pahang tak dapat insentif RM5,000

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menjelaskan 83% atau 8,750 peneroka di Felda Wilayah Jengka di negeri itu sudah menerima bayaran insentif RM5,000 setakat semalam.

shahrir-samad-felda

PETALING JAYA: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa peneroka di Felda Jengka 10 dan 12 di Pahang belum mendapat bayaran insentif RM5,000 diumumkan perdana menteri, Julai lalu.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menjelaskan 83% atau 8,750 peneroka di Felda Wilayah Jengka di negeri itu sudah menerima bayaran insentif RM5,000 setakat semalam.

“Bagi Felda Jengka 10, 355 daripada 370 peneroka yang layak telahpun menerima bayaran, manakala bagi Jengka 12 pula, seramai 274 daripada 342 peneroka yang layak telah menerima bayaran insentif tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

The Malaysia Insight hari ini melaporkan beberapa peneroka generasi ke-2 mendakwa belum mendapat bayaran RM5,000 yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak, Julai lalu dan sepatutnya dibayar pada akhir bulan lalu.

Peneroka Felda Jengka 10, Mohamad Tarmizi dipetik sebagai berkata, cek contoh sudah diserahkan kepada kawasan terbabit, tetapi wang itu belum lagi diterimanya.

Andak Ahmad pula dilaporkan berkata, beliau dan rakannya tidak menaruh harapan terhadap insentif itu kerana mereka sudah lali dikecewakan kerajaan.

Jali Sulong dari Felda Jengka 12 yang merupakan peneroka generasi pertama dilaporkan berkata, beliau tidak mengharapkan BN menunaikan janjinya.

Beliau yang juga penyokong setia BN percaya pengumuman Najib itu sekadar helah pilihan raya dan mempersoalkan kerajaan jika serius untuk membantu peneroka melangsaikan hutang mereka.

Shahrir berkata, semakan Felda mendapati peneroka di Jengka 12 yang diwawancara portal berita itu tidak mendapat insentif berkenaan kerana mereka tidak menghantar hasil kelapa sawit sejak Januari hingga Jun lalu.

Beliau berkata, peneroka yang sudah menandatangani surat akuan untuk kembali bersama Felda akan menerima insentif itu mulai Februari 2018, jika mereka menghantar hasil kepada Felda secara berterusan dalam tempoh 6 bulan.

“Selain itu, ibu kepada anak peneroka Felda Jengka 10 yang ditemu bual juga sebenarnya telah menerima bayaran insentif tersebut pada 19 September lalu.”

Katanya, seramai 79,093 peneroka di seluruh negara menerima insentif khas RM5,000 secara berperingkat pada 30 Ogos dan 19 September lalu yang dimasukkan ke akaun bank mereka.

Beliau berkata, sebahagian peneroka yang menghadapi masalah teknikal pula akan mendapat bayaran tunai pada akhir bulan ini, manakala peneroka yang masih tidak mengemas kini akaun bank pula akan dibayar dengan cek pada bulan depan.

Pada 23 Julai lalu, Najib mengumumkan 6 insentif untuk peneroka, termasuk bayaran insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh.

“Dengan jumlah peruntukan RM474.78 juta, pembayaran akan mula dibuat pada penghujung Ogos ini,” katanya pada sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan 2017 di Putrajaya, 2 bulan lalu.

Najib umum 6 insentif, lupus hutang peneroka beli saham FGV


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...