Get $25 free
loading...

Bekas ketua polis ingatkan kerajaan bahaya sokong golongan guna agama

Abdul Rahim Noor berkata orang Melayu terikut-ikut budaya Arab dan rakyat Sabah/Sarawak masih tidak dapat mencari titik persamaan dengan Semenanjung.

Abdul-Rahim-Mohd-Noor_malaysia_islam_600KOTA KINABALU: Bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata kini wujud satu trend yang membimbangkan dalam kalangan pemerintah untuk berusaha memenuhi permintaan golongan yang menggunakan agama untuk memperoleh sokongan daripada orang ramai.

Bercakap di forum “Malaysia in the Future” di sini semalam, Rahim berkata kecenderungan itu kini masih terhad di kawasan tertentu di Semenanjung Malaysia, tetapi memberi amaran boleh merebak jika tidak dikawal oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, ia akan turut mendatangkan kesan terhadap kesatuan Malaysia yang menggabungkan Sabah dan Sarawak.

“Jika perkara ini diteruskan, persekutuan akan goyah dan mungkin pada masa itu, Sabah dan Sarawak akan fikir semula sama ada mereka mahu terus menjadi sebahagian daripada Malaysia,” katanya.

Rahim berkata ketika Persekutuan Malaysia ditubuhkan, ia tidak mempunyai niat menjadikan Malaysia sebuah negara Islam, kerana sekiranya demikian, ia akan menerima bantahan Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, agama adalah isu utama yang dibincangkan oleh Suruhanjaya Cobbold, badan yang dibentuk bersama oleh kerajaan British dan Tanah Melayu pada 1962 untuk menilai pandangan rakyat mengenai gagasan Malaysia.

“Semua rakyat di Borneo, tanpa mengira kaum dan agama, tidak mahu agama rasmi untuk persekutuan baharu itu.

“Permintaan itu munasabah. Lagipun, terdapat banyak negara yang mempunyai majoriti orang Islam di dunia tetapi tidak menjadikan Islam sebagai agama rasmi mereka, seperti Mesir dan Indonesia yang mempunyai penduduk Islam paling ramai,” katanya.

Budaya Arab

Rahim dalam ucapannya berkata ramai umat Islam Melayu keliru antara Arab dan Islam.

Katanya, ini menimbulkan kecenderungan di kalangan umat Islam tempatan mengamalkan budaya Arab, malah lebih daripada orang Arab sendiri.

Beliau menceritakan insiden di mana saudaranya mendakwa huruf bahasa Arab adalah milik umat Islam, tidak seperti huruf Rumi.

“Dia memang tidak begitu terpelajar. Tetapi ianya seolah-olah tidak ramai yang sedar, atau mungkin mereka pilih untuk tidak hiraukan yang Timur Tengah bukan sahaja didiami umat Islam, tetapi juga penganut agama lain,” katanya.

Rahim berkata beliau secara peribadi lebih suka kepada model “Pancasila” seperti di Indonesia yang tidak mengiktiraf agama rasmi.

Selepas 54 tahun, beliau berkata Malaysia masih mencari identitinya sendiri sementara rakyat kekal berpecah-belah, dan membawa identiti kaum dan puak masing-masing.

Ia diburukkan apabila penduduk di Sabah dan Sarawak tidak berasa mereka berkongsi persamaan dengan rakyat di Semenanjung Malaysia.

“Kita harus mengakui yang selain daripada mempunyai penjajah yang sama, Semenanjung Malaysia dan Borneo sangat berbeza dari segi budaya dan sejarah. Kita masih jauh untuk mencapai satu bangsa Malaysia.

“Meletakkan agama dalam perkara ini hanya akan menyukarkan lagi usaha ini,” kata beliau.



The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...