Get $25 free
loading...

Rasuah: SPRM ‘Lawat’ PKNS Dalam Masa Terdekat

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melawat PKNS ‘dalam masa terdekat’ berkaitan siasatan kes membabitkan ketua setiausaha di sebuah kementerian persekutuan.

Difahamkan dokumen rasmi daripada rekod PKNS adalah penting untuk menentukan urusan melibatkan sebahagian daripada 10 plot tanah yang diambil Datuk Mohd Arif Ab Rahman ketika beliau berkhidmat bersama kerajaan Selangor.

Satu lagi tugas sukar sedang menunggu pegawai SPRM ketika mereka berusaha mengesan beratus-ratus dokumen yang disimpan dalam rekod sulit di sana.

Mohd Arif yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sejak pelantikannya pada 16 Oktober 2015 disiasat atas dakwaan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Sebelum ini, beliau merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Difahamkan SPRM mahu memastikan kesemua plot tanah di Selangor dibeli mengikut ‘prosedur yang betul’.

“Sebahagian daripada tanah itu didaftarkan di bawah nama isteri dan anak suspek, jadi kami perlu mengesahkan semua pembelian itu dilakukan secara telus,” kata sumber.

Mohd Arif merupakan Presiden Majlis Perbandaran Subang Jaya pada 2005 dan pegawai kewangan Selangor pada 2007.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata pegawainya sedang mengumpul bukti dan akan merampas lebih banyak dokumen semasa siasatan sedang dijalankan.

Difahamkan kontraktor dan vendor yang menerima kontrak ketika Mohd Arif berkhidmat di bawah kementerian sedia ada dan sebelum ini akan dipanggil dalam masa terdekat.

Pada minggu lalu, Mohd Arif, 59, dan dua anak lelakinya masing-masing berusia 29 dan 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Setakat ini, wang tunai dan jongkong emas bernilai lebih RM6 juta sudah dirampas termasuk kira-kira 150 beg tangan dan jam tangan mewah.

Comments

Share This:



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...