Get $25 free
loading...

Pekerja setuju, majikan bantah peraturan levi baharu

MTUC setuju majikan perlu membayar levi pekerja asing, tetapi persekutuan majikan kata RM5 bilion akan mengalir keluar dari negara ini

shamsuddin-bardan-mef-myanmar-1

PETALING JAYA: Malaysia akan kerugian RM5 bilion sekiranya majikan tidak boleh menolak kos levi pekerja asing daripada pekerja mereka, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Bercakap kepada FMT, Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan berkata: “Sebelum ini, pekerja asing perlu bayar levi masing-masing. Sekarang apabila majikan pula yang perlu membayarnya, pekerja asing akan mengirimkan penjimatan itu ke negara masing-masing.”

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata majikan mulai hari ini bertanggungjawab untuk membayar levi pekerja asing mereka.

Shamsuddin berkata: “Itu bermakna RM5 bilion akan dikirim pulang ke negara asing. Pekerja asing bukan seperti majikan tempatan yang berbelanja dalam negara, jadi ini satu kerugian kepada ekonomi tempatan.”

Menurut beliau, pekerja asing menghantar pulang kira-kira RM33 bilion pada 2016.

Beliau juga bimbang dengan hasrat kerajaan yang mahu menaikkan deposit keselamatan pekerja asing dan taraf penginapan mereka.

“Sebelum ini, kerajaan melaksanakan komitmen itu bagi memenuhi syarat Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

“Sekarang ini bakal presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mahu abaikan TPPA, jadi tidak ada manfaat kepada majikan untuk tanggung kos tambahan itu.”

Shamsuddin berkata kemampuan perniagaan memindahkan kos kepada pengguna terhad kerana kenaikan harga barang tetapi sekiranya kos terus meningkat, perniagaan tidak punya pilihan lain kecuali menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

Beliau juga tidak faham rasional kerajaan meminta majikan membayar levi itu dalam usaha menghalang pekerja asing daripada melarikan diri.

“Pekerja asing masih boleh melarikan diri dan itu kos kepada perniagaan, terutamanya dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang ini.”

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengalu-alukan langkah meminta majikan membayar lavi pekerja asing.

Setiausaha Agung J Solomon berkata pihak berkuasa perlu bertindak ke atas majikan yang cuba menebus kerugian daripada pekerja mereka.

Beliau juga menyeru pihak berkuasa supaya memastikan pekerja asing diberi penginapan yang baik, selesa dan bersih supaya mereka selamat dan terlindung daripada penyakit.

“MTUC berharap kerajaan boleh melihat semula cadangan meletakkan semua perkara mengenai pekerja asing di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia supaya piawaian buruh antarabangsa dan saranan daripada pertubuhan buruh antarabangsa boleh diuruskan oleh satu badan tiga pihak yang dianggotai kerajaan, majikan dan pekerja.”


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...