Tanah runtuh: Kereta api Tumpat-Kuala Lipis dihentikan seminggu

KTMB melaporkan sebuah kereta api tergelincir dan tanah runtuh di 9 lokasi antara Stesen Kuala Krai dan Stesen Bukit Abu.

ktmb-krai-1

KOTA BHARU: Perkhidmatan kereta api antara bandar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menghubungkan Tumpat dan Kuala Lipis dihentikan selama seminggu berikutan kejadian tanah runtuh di 9 lokasi antara Stesen Kuala Krai dan Stesen Bukit Abu.

Pengurus Wilayah Timur KTMB Zaid Ibrahim berkata perkhidmatan terpaksa dihentikan bagi kerja-kerja baik pulih di kawasan yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh berkenaan.

ktmb-krai-2

“Bagaimanapun, perkhidmatan tren ekspres masih berjalan seperti biasa dengan penumpang dari Stesen Kuala Krai, Tanah Merah, Tumpat dan Pasir Mas akan dibawa menggunakan bas ke Stesen Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan menggunakan tren ekspres ke bahagian selatan tanah air,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan sebuah kereta api antara bandar dari Tumpat ke Kuala Lipis tergelincir pagi tadi, Zaid berkata kejadian tersebut berlaku dekat Stesen Kuala Gris, Dabong.

ktmb-krai-3

“Tren tersebut bertolak dari Stesen Tumpat pada pukul 4.30 pagi tadi menghala ke Kuala Lipis. Apabila tiba di sebuah terowong, pemandu tren mendapati berlaku tanah runtuh dan bertindak mengundurkan tren.

“Bagaimanapun, ketika sedang mengundurkan tren tersebut, tiba-tiba tanah runtuh berlaku dan menghempap tren tersebut sehingga menyebabkan ia tergelincir dari landasan,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, kesemua 33 penumpang dan 4 kru tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kesemua penumpang dan 4 kru berkenaan kemudiannya berjalan kaki sejauh 2 kilometer menuju ke Stesen Kuala Gris sebelum dipindahkan dengan bas ke Stesen Dabong.

“Penumpang kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kuala Lipis dengan sebuah lagi tren yang menunggu di Stesen Dabong untuk ke destinasi masing-masing,” katanya.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...