Get $25 free
loading...

PERUTUSAN TAHUN BARU 2017 YAB PERDANA MENTERI

1. Bermulanya 2017, izinkanlah patik memulakan dengan menyampaikan penghargaan yang tidak terhingga kepada Tuanku Abdul Halim ibni Almarhum Sultan Badlishah atas segala khidmat bakti Baginda untuk Malaysia. Baginda mengambil berat secara peribadi dan mendalam terhadap segala perkara berkenaan rakyat, dan nasihat dan kebijaksanaan Baginda tak terhitung nilainya kepada negara kita sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14. Sesungguhnya, Tuanku Abdul Halim mempunyai kedudukan yang unik dalam sejarah Malaysia setelah berkhidmat dua kali sebagai Yang di-Pertuan Agong.2. Patik bersama semua rakyat Malaysia juga mengalu-alukan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong negara ke-15. Patik berharap untuk berkhidmat buat Baginda dan yakin bahawa tenaga dan bimbingan Baginda akan memberi sumbangan tidak ternilai pada tahun-tahun mendatang.

3. 2016 adalah tahun yang membawa pelbagai cabaran di serata dunia dan ketidaktentuan yang dialami membawa kesan kepada kita semua. Mata wang pasaran membangun termasuk Malaysia tidak dapat mengelak tempias antara lain kenaikan dolar Amerika Syarikat serta ketidaktentuan ekonomi global.

4. Walaupun begitu, Kerajaan masih berpegang teguh kepada komitmen kita membina masyarakat yang lebih selamat, sejahtera dan saksama. Kita telah pun dapat melihat hasil daripadanya. Defisit bajet, inflasi dan kadar pengangguran kita kekal rendah, dan keteguhan yang telah kita bina dalam ekonomi negara membolehkan kita mengharungi ketidaktentuan global yang melanda. Rancangan ekonomi kita berkesan.

5. Jangkaan kadar pertumbuhan ekonomi 4.3-4.5 peratus bagi tahun ini adalah sesuatu yang hanya boleh diimpikan oleh negara-negara membangun di Eropah dan Amerika Utara.

6. Rakyat Malaysia harus berbangga dengan pertumbuhan yang kita kecapi ini. Sepertimana mereka juga seharusnya berbangga dengan laporan terbaru IMF yang menyatakan bahawa “Meskipun berdepan halangan, ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi cemerlang.”

7. Laporan sama memuji Kerajaan kerana melaksanakan polisi kepelbagaian, fleksibiliti kadar pertukaran dan pasaran kewangan mendalam, dan bagi pembaharuan kita yang menggalakkan penyertaan tenaga kerja wanita, meningkatkan kualiti pendidikan, meningkatkan produktiviti, pelaburan dalam infrastruktur, dan menggalakkan penyelidikan dan pembangunan.

8. Penilaian seperti ini adalah bebas dan dijalankan oleh pakar-pakar terkemuka di dunia. Mereka mencerminkan gambaran sebenar Malaysia – bertentangan dengan kempen memburuk-burukkan negara oleh mereka yang cuba untuk melakukan sabotaj ekonomi terhadap negara mereka sendiri hanya demi kepentingan matlamat politik mereka. Kita tidak akan membenarkan ia berlaku, kerana yang akan menderita akibatnya adalah rakyat dan negara.

9. IMF memuji kita kerana telah mengorak “kemajuan besar ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi”. Itulah realitinya, dan saya menyeru semua rakyat Malaysia supaya tidak terpedaya dengan pembohongan yang disebarkan. Berita palsu dan penyebaran cerita palsu telah menjadi satu fenomena di seluruh dunia, dan juga adalah satu masalah serius di negara kita.

10. Pada masa sama, kita juga sedar bahawa rumusan pakar-pakar IMF dan angka pertumbuhan KDNK mungkin kelihatan asing buat kebanyakan rakyat Malaysia. Kerajaan amat komited untuk meringankan beban mereka yang ada masanya menghadapi kesukaran untuk memberi kehidupan yang baik untuk keluarga mereka.

11. Inilah sebabnya mengapa dalam Bajet 2017 kita telah memberi perhatian khusus kepada keperluan golongan B40 dan M40, dan mengumumkan pelbagai langkah untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan – dari rumah mampu milik baru, kepada pelepasan cukai dan pakej makanan berkhasiat bagi ratusan ribu kanak-kanak sekolah.

12. Usaha-usaha kita, untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia, adalah bertunjangkan komitmen kepada tadbir urus yang baik. Saya berterima kasih kepada ramai individu dalam perkhidmatan awam kita atas kerja-kerja yang mereka telah dan sedang lakukan, untuk meningkatkan kecekapan dan memastikan bahawa peruntukan Kerajaan digunakan dengan cara yang paling bermakna.

13. Dalam jangka masa panjang, pertumbuhan kita perlu kekal mampan dan kita ingin supaya ia dikongsi secara saksama. Projek-projek infrastruktur besar-besaran yang sedang kita laksanakan di seluruh negara akan membantu kita mencapai matlamat ini.

14. Hanya beberapa minggu yang lalu, kita telah melancarkan fasa pertama MRT Kuala Lumpur – tepat pada masa dan di bawah bajet – dan kerja-kerja bagi fasa tiga LRT telah pun bermula. Malaysia amat memerlukan infrastruktur baru ini, dan ia sepatutnya telah dibina lama dahulu.

15. Tambahan lagi, pelaksanaan dan penyampaian projek-projek seperti Rapid Pengerang di Johor, Malaysia Vision Valley (MVV), Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX), Lebuhraya Pan Borneo dan projek rel, East Coast Rail Link (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) akan membawa pekerjaan, merangsang ekonomi tempatan, dan memberi peningkatan yang ketara dalam kehidupan rakyat.

16. Lebuhraya Pan Borneo, misalnya, bukan sahaja akan menghubungkan Serundong di Sabah ke Semantan di Sarawak, ia juga akan membantu beri nafas baharu kepada bandar-bandar di sepanjang laluannya. Saya berazam untuk melihat projek ini lengkap kerana saya tahu betapa banyak komuniti – yang kebanyakannya telah saya lawati – akan mendapat manfaat daripadanya.

17. Di peringkat antarabangsa, Malaysia terus memainkan peranan penting di rantau ini dan seterusnya. Kita tidak teragak-agak untuk bersuara, dan memainkan peranan aktif dalam membawa perhatian kepada isu-isu global yang penting.

18. Sebagai tindak balas kepada peristiwa tragik yang menimpa penduduk Rohingya di Myanmar, kita telah berjaya mengadakan perhimpunan Menteri-menteri Luar ASEAN untuk membincangkan penyelesaian kepada keadaan yang semakin hari semakin membimbangkan ini.

19. Di peringkat lebih jauh, kita kekal komited menyokong usaha untuk keamanan di Timur Tengah, seperti yang ditunjukkan oleh penggunaan resolusi kita menentang pembinaan penempatan haram di wilayah Palestin oleh Majlis Keselamatan PBB minggu lalu.

20. Di dalam dan luar negara, kita terus berada di barisan hadapan dalam perjuangan menentang ekstremisme dan radikalisasi. Kita menghadapi serangan berkaitan Daesh pertama kita pada bulan Jun, dan hanya dedikasi, kegigihan serta keberanian anggota polis dan keselamatan berjaya menghalang perkara yang lebih buruk berlaku. Kerajaan dan pihak keselamatan akan terus melindungi Sabah, terutama di Zon Selamat Sabah Timur, daripada ancaman pengganas dan penculik.

21. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota polis dan angkatan tentera atas usaha mereka, selain memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa Kerajaan akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Kita akan sentiasa meletakkan keselamatan dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan kita.

22. Tahun ini juga pastinya adalah tahun di mana semangat kita telah dilonjakkan oleh persembahan menakjubkan pasukan Malaysia di temasya sukan Olimpik dan Paralimpik. Walaupun semua atlet kita berhak menerima sanjungan, kejayaan memenangi dua pingat emas pertama kita adalah satu pencapaian bersejarah, saat yang amat membanggakan dan menyentuh hati semua rakyat Malaysia.

23. Walaupun kejayaan sukan ini dicapai di bumi Rio de Janeiro, tetapi saya cukup bangga dengan cara bagaimana semua rakyat Malaysia – di bandar-bandar dan di kampung-kampung di seluruh pelusuk tanah air – bersama-sama menyokong pasukan kebangsaan. Inilah cerminan sebenar 1Malaysia.

24. Inilah siapa kita sebenarnya di saat kita di tahap terbaik. Inilah siapa yang harus kita jadi dalam kita memandang ke hadapan, ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan negara yang kita impikan menjelang pertengahan abad ini. Sebuah negara yang yakin dengan diri sendiri, meraikan kepelbagaian kita, berbangga dengan kejayaan kita, dan sentiasa memastikan semua rakyat Malaysia bersama sepenuhnya dalam perjalanan menuju kejayaan yang sedang Malaysia lalui.

25. Saya harap semua rakyat Malaysia bersatu padu dalam semangat ini, dan semoga Tahun Baru buat anda semua gembira, selamat dan sejahtera.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...